Biasanya bagi masyarakat Melayu zaman dahulu, adalah menjadi adat untuk mengandamkan anak dara yang bakal dikahwinkan lebih kurang tiga hari sebelum majlis perkahwinan dilangsungkan. Anak dara tersebut akan diandam oleh tukang andam yang memang kerjanya mengambil upah menjadi emak pengantin dan beliaulah yang akan menguruskan semua kerja-kerja menyiapkan dan mengandam pengantin. Pengertian berandam itu ialah perempuan yang hendak dikahwinkan perlu dicukur dan diperelokkan bentuk bulu keningnya dan dicukur andam anak rambut di sepanjang dahinya.
Kemudian, gigi anak dara itu akan diasah dengan sejenis batu pengasah gigi supaya saiz dan kedudukan gigi dapat disama ratakan. Semua ini dilakukan oleh orang tua-tua zaman dahulu dengan tujuan yang baik, iaitu untuk menambah kecantikan dan seri kepada anak dara tersebut. Setelah selesai diandam dan diasah gigi, anak dara tersebut akan dimandikan serta disapukan bedak. Beliau akan dimandikan dengan air daun buah limau purut dan mak andam akan menjalankan upacara sintok langir yang mengikut kepercayaan, upacara tersebut akan membuang rasa takut, sial, malang dan malapetaka yang bakal mengganggu anak dara tersebut.
Apabila telah siap dimandikan, maka hujung kesepuluh-sepuluh jari tangan, di tengah-tengah kedua belah tapak tangan dan di sekeliling kedua belah kaki anak dara itu akan diinaikan. Upacara menepek inai ini dilakukan terlebih dahulu sebelum adat berinai di pelamin dijalankan.
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.